Viral di media sosial kisah seorang pemuda yang berhati mulia yang juga petugas kaunter di sebuah restoran makanan segera tarik perhatian warga netizen apabila seorang pelanggan tidak mempunyai wang tunai untuk membuat pesanan makanan, namun apa yang dilakukan pemuda terbabit amat mengejutkan.
Perkongsian Datuk Roslan Hassan melalui akaun Facebook miliknya turut dikongsi ramai netizen yang kini jadi tular selepas rata-rata netizen memuji layanan yang diberikan petugas kaunter berkenaan terhadap pelanggannya sungguh membanggakan.
Kisah bermula apabila Roslan singgah di sebuah restoran makanan segera di Hentian Rehat & Rawat (R&R), Ayer Keroh, Melaka pada Ahad lalu untuk membeli makanan sebelum meneruskan perjalanannya.
"Saya bersama keluarga singgah di R&R tersebut ketika dalam perjalanan dari Shah Alam menuju ke Desaru, Johor untuk menghadiri program hari keluarga syarikat.
"Sementara menunggu isteri, ibu dan anak perempuan selesai solat di surau, saya singgah di sebuah restoran makanan segera untuk membeli makanan.
"Sebaik tiba giliran, saya bertanya kepada petugas kaunter sama ada boleh membayar dengan kad debit kerana tiada wang tunai, malangnya tidak boleh.
"Saya cuba menghubungi isteri dan anak perempuan ketika itu bagi mendapatkan bantuan tetapi panggilan telefon tidak dijawab," jawabnya selepas dihubungi pihak Harian Metro.
Apabila berdepan dengan keadaan tersebut, petugas kaunter terbabit bertanya kepada Roslan sama ada beliau ingin membuat pesanan dalam kuantiti yang banyak atau sebaliknya disamping pemuda berkenaan tidak kisah jika membelanjakan Roslan jika makan berseorangan.
Walau bagaimanapun, Roslan menolak tawaran berkenaan dengan baik kerana tidak mahu menyusahkan pemuda terbabit memandangkan Roslan ingin membuat pesanan untuk 9 orang termasuk dirinya dan ahli keluarganya berserta anak saudara dan dua pekerjanya.
Roslan sebaliknya bertanyakan kepada pemuda berkenaan di mana mesin pengeluaran wang automatik (ATM) berdekatan dan pemuda tersebut memberitahu ATM terletak di luar R7R di mana jaraknya agak jauh untuk berjalan kaki.
Mungkin disebabkan tidak sampai hati melihat keadaan Roslan yang telah beratur panjang, petugas kaunter tersebut meminta Roslan untuk membuat pesanan terlebih dahulu sebelum memberi tawaran untuk menggunakan motosikal miliknya untuk ke ATM berdekatan.
Setelah selesai membuat pesanan, Roslan terus keluar untuk mengambil kunci dari pemuda terbabit di belakang restoran dan dalam masa yang sama isteri dan anaknya muncul sebelum memberikan Roslan sedikit wang tunai untuk membayar pesanan makanan itu tadi.
Menurut Roslan, dia langsung tidak menyangka perkongsian yang telah dimuatnaiknya di Facebook jadi viral sehingga puluhan ribu perkongsian. Roslan juga mengharapkan orang ramai mengambil mesej positif dari apa yang dikongsikannya itu.
Roslan juga memberitahu bahawa dia berhasrat untuk bertemu semula dengan pemuda tersebut yang dikenali sebagai Firdaus itu untuk memberi saguhati kepadanya sebagai satu penghargaan sebelum beliau terus pulang ke ibu kota.
Kisah pemuda berhati mulia ini sangat wajar untuk dikongsikan kerana ia memaparkan sisi seorang anak muda yang berjiwa besar dan pasti ramai lagi anak muda yang sama di luar sana yang mempunyai sikap sama seperti Firdaus.
Rata-rata netizen turut memuji serta mendoakan kesejahteraan Firdaus selepas apa yang dilakukan pemuda tersebut. Ada yang berpendapat tindakan Firdaus itu adalah hasil didikan kedua ibu bapanya yang mana mereka telah membesarkan Firdaus dengan betul. Perkongsian Datuk Roslan Hassan.